Apa yang perlu dijangka apabila pulang ke tanah air selepas tamat pengajian atau pengalaman bekerja di luar negara?

Published on
October 12, 2023

Pelajar yang pulang ke tanah air setelah menghabiskan beberapa tahun belajar atau bekerja di luar negara mungkin rasa pengalaman itu menarik atau mungkin sedikit membebankan.

Setelah menghabiskan waktu yang lama di negara asing, mereka mungkin berdepan dengan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara asal atau mengalami kesulitan dalam menghadapi perubahan tersebut.

Apakah isu-isu yang muncul semasa proses ini dan adakah terdapat sumber sokongan untuk membantu pelajar-pelajar ini?

Mari kita lihat isu-isu tersebut.

Kejutan budaya

Proses penyesuaian berlaku dalam dua arah – dari pengalaman pertama pergi ke luar negara hingga kembali ke tanah air. Kebiasaan negara asal mungkin sedikit mengelirukan dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri semula dengan cara hidup, seperti trafik, makanan, cuaca, dan juga politik.

Isu berkaitan kerjaya

Memahami pasaran pekerjaan tempatan memerlukan masa. Mungkin terdapat jurang dalam pemahaman mengenai keperluan pasaran tempatan dan pengalaman antarabangsa seorang pelajar mungkin tidak relevan pada masa itu. Sentiasa lakukan penyelidikan terlebih dahulu sebelum memohon pekerjaan di tanah air.

Hubungan dengan rakan dan keluarga

Apabila pelajar berada di luar negara untuk beberapa lama, hubungan dengan orang tersayang di tanah air mungkin berubah. Menjalinkan semula hubungan seperti sebelumnya mungkin senang atau sebaliknya, pelajar mungkin rasa sedikit terasing.

Bagaimana kita mengatasi cabaran ini?

Persediaan mental

Pelajar yang baru sahaja tamat pengajian atau pulang selepas bekerja di luar negara perlu membuat persediaan mental untuk tempoh penyesuaian. Fikirkan tentang niat dan sebab-sebab di sebalik keputusan untuk pulang, ingatkan diri bahawa adalah perkara biasa untuk rasa cemas atau tertekan, tetapi pada masa yang sama, ingatkan diri tentang kelebihan pulang ke tanah air. Luangkan masa yang cukup untuk menyesuaikan diri dan merancang perjalanan dengan masa yang mencukupi untuk memudahkan proses ini, sama seperti menyesuaikan diri dengan budaya asing yang memerlukan tempoh akulturasi. Beri ruang untuk berehat dan berfikir tentang suasana sekitar sambil membenarkan diri untuk merasai proses perubahan ini.

Kekalkan Hubungan

Sentiasa berguna untuk terus berhubung dengan komuniti antarabangsa kerana ia menyokong proses reintegrasi pelajar. Hubungan ini boleh merangkumi persahabatan yang terjalin semasa di universiti atau tempat kerja. Menjadi sebahagian daripada rangkaian ini dapat membantu pelajar rasa kurang terasing dan memberi sokongan semasa kembali ke tanah air.

Badan sukarelawan dan persatuan alumni

Sumber - sumber seperti rangkaian atau acara untuk pelajar atau alumni dapat membantu dalam proses ini. Selain itu, pelajar yang terus berminat dengan kerja sukarela atau aktiviti dalam sukan, muzik, seni, atau sains dapat memberi tujuan hidup. Pertubuhan seperti Persatuan Antarabangsa Pelajar dalam Ekonomi dan Sains Komersial (AIESEC) menawarkan banyak program yang melibatkan rangkaian global dan tempatan.

Persatuan alumni dari pelbagai universiti UK sentiasa melancarkan inisiatif untuk memastikan pelajar terus berhubung, dari negara asal mereka hingga ke pusat di UK.

Peluang kerjaya

Bagi pelajar yang baru tamat pengajian dan mencari pekerjaan di tanah air, mencari sumber yang tepat akan membantu memudahkan perjalanan untuk memulakan kerjaya dalam bidang pilihan mereka.
Satu petua pertama adalah mencari mentor atau mencari sumber kerjaya yang boleh membantu mengharungi cabaran unik dalam memasuki pasaran kerja di tanah air. Pertubuhan seperti universiti, pusat kerjaya sekolah perniagaan atau kumpulan rangkaian tempatan mungkin dapat memberikan panduan dan nasihat yang berguna.

Pengalaman antarabangsa

Pengalaman pasaran pekerjaan di UK boleh sangat membantu ketika mencari peluang pekerjaan di tanah air, terutamanya jika negara asal menawarkan platform untuk warganegara yang kembali. Di Malaysia, Program Pakar Pulang TalentCorp menawarkan peluang bagi profesional warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara untuk membawa pulang pengalaman, kemahiran, pengetahuan, dan kebolehan antarabangsa yang mereka peroleh sepanjang masa di luar negara untuk menyumbang ke arah pembangunan tenaga kerja bertaraf dunia di Malaysia.

Di bawah program ini, TalentCorp menawarkan insentif kewangan dan manfaat hidup bagi membantu bakat Malaysia yang pulang untuk menyesuaikan diri dengan lancar. Beberapa manfaat yang disediakan adalah:

  • Menikmati kadar cukai 15% rata bagi pendapatan pekerjaan yang dikenakan cukai untuk 5 tahun
  • Pasangan dan anak-anak warga asing layak untuk status PR, tertakluk kepada kelulusan dan budi bicara Jabatan Imigresen Malaysia
  • Dikecualikan daripada cukai bagi semua barang peribadi yang dibawa masuk ke Malaysia
  • Dikecualikan daripada cukai bagi pembelian sebuah kereta buatan tempatan Complete Knocked Down (CKD) atau membawa masuk kereta Complete Built Up (CBU) yang diimport sepenuhnya dengan had maksimum RM100,000 untuk setiap permohonan

Profesional warganegara Malaysia dari luar negara boleh memohon satu atau dua bulan sebelum pulang, dengan tempoh sah dua tahun untuk melengkapkan syarat-syarat tertentu bagi kelayakan manfaat ini.