Universiti pasti merupakan tempoh yang membingungkan bagi ramai orang. Lagipun, kebanyakan pelajar universiti sedang berusaha untuk mencari jati diri melalui proses kematangan. Ini sering bermakna bahawa pelajar berada di antara dua dunia, iaitu seorang dewasa, tetapi masih muda dengan semangat seorang remaja… Tempoh peralihan ini boleh menjadi pelik bagi ramai, terutamanya jika pelajar berada jauh dari rumah di negara asing, kebiasaannya tinggal sendirian dan mengalami persekitaran baru. Hal ini bukan sahaja menakutkan bagi pelajar, malah ramai antara mereka mungkin rasa tertekan untuk cepat menjadi dewasa.
Pelajar perlu memahami bahawa proses membesar adalah satu perjalanan yang aneh. Bukan sahaja identiti seseorang sedang dibentuk, malah idea untuk memutuskan jenis diri yang mahu menjadi juga boleh menjadi membingungkan dan memenatkan. Cara untuk menghadapinya adalah dengan membuka diri kepada komuniti yang lebih luas. Bercakap mengenai perasaan kepada orang tersayang, seperti keluarga dan rakan-rakan. Pelajar juga boleh merujuk kepada pensyarah atau kaunselor universiti untuk sokongan, nasihat atau sekadar seorang untuk mendengari mereka. Tiada apa yang perlu dijadikan malu, dan pelajar harus ingat bahawa golongan dewasa juga telah melalui proses ini. Pelajar juga perlu ingat bahawa mereka tidak seharusnya memendam segala-galanya, kerana itu hanya akan memburukkan keadaan. Berkongsi perasaan dan pemikiran membolehkan pelajar menyedari bahawa mereka bukan satu-satunya yang rasa kehilangan arah.
Langkah lain yang boleh diambil oleh pelajar agar tidak rasa terlalu hilang adalah dengan mempelajari beberapa kemahiran sosial, seperti cara untuk memberi respons terhadap persekitaran atau ketika berinteraksi dalam pelbagai situasi sosial. Namun, ini tidak bermakna melupakan sepenuhnya identiti “benar” diri. Ini bermaksud mempelajari isyarat sosial untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi. Sebagai contoh, pelajar perlu belajar bercakap dengan lebih formal di tempat kerja jika mereka sedang menjalani latihan industri, dan mereka juga perlu tahu bahawa tidak mengapa untuk bersikap lebih santai di hadapan keluarga dan rakan-rakan atau ketika menyertai kelab. Ia bukan tentang menyesuaikan diri dengan satu identiti sahaja. Ia adalah mengenai fleksibiliti, dan juga menerima hakikat bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada perjalanan tersebut.
Di universiti, langkah lain untuk membantu pelajar menjadi lebih matang adalah pengurusan masa. Penyusunan jadual adalah cara yang baik untuk pelajar bermula dalam mengekalkan beban kerja mereka, serta mengelakkan penangguhan melalui rasa pencapaian yang dilakukan dengan disiplin. Ini juga akan membantu pelajar mengurangkan tekanan kerana mereka telah merancang segala-galanya. Ia hanya bergantung pada melaksanakan perkara tersebut. Sudah tentu, pelajar juga perlu tahu cara untuk tidak memuatkan jadual mereka hingga ke tahap yang hampir mustahil untuk ditangani. Standard yang terlalu tinggi hanya akan membuat pelajar rasa cemas, tidak gembira, atau murung kerana mereka mungkin rasa seperti gagal dalam usaha mereka untuk menjadi dewasa.
Kebenarannya adalah bahawa tiada siapa yang tahu bagaimana untuk benar-benar menjadi seorang “dewasa”. Manusia memang sentiasa belajar sepanjang hidup mereka. Oleh itu, pelajar perlu tahu bahawa mereka tidak diminta untuk bertindak dengan sempurna mengikut apa yang dianggap sesuai dalam situasi tertentu. Mengejar kesempurnaan hanya akan membuat pelajar rasa lebih tertekan, terutamanya kerana mereka sedang menangani peperiksaan, tugasan dan kehidupan sosial. Pelajar yang sentiasa berusaha keras untuk cepat membesar cenderung berakhir dengan keletihan. Sebagai contoh, jika anda sedang mengimbangi pekerjaan dan tarikh akhir universiti pada masa yang sama. Sudah tentu, ada situasi yang memerlukan multitasking ini dilakukan, tetapi jika boleh, pelajar harus cuba untuk fokus pada satu perkara sahaja pada satu masa agar tidak rasa terlalu tertekan. Ini juga akan membantu dalam jangka panjang, kerana pelajar tidak perlu bergelut untuk menyeimbangkan beban kerja mereka sambil memenuhi jangkaan.
Pelajar harus tahu bahawa proses menjadi dewasa adalah satu perjalanan yang panjang, jadi mereka harus belajar untuk “berada” sahaja, daripada tergesa-gesa menjalani kehidupan. Ketahuilah bahawa masa akan memberikan jawapan, dan bahawa lebih baik untuk mengambil langkah perlahan dan tekun, sambil juga belajar daripada orang lain dan kesilapan yang dibuat sepanjang perjalanan.
Akhirnya, menjadi dewasa bukanlah perkara yang mudah, dan berada di peringkat “di antara” dalam belajar untuk mengimbangi tanggungjawab sambil menginginkan keseronokan bukanlah salah. Universiti, akhirnya, adalah tempat bagi pelajar untuk bereksperimen, berseronok dan meneroka apa itu kebebasan. Masa depan mungkin kelihatan kabur buat masa ini, tetapi pelajar perlu mempercayai diri mereka, dan percaya bahawa semuanya akan baik-baik sahaja akhirnya. Yang paling penting, pelajar harus tetap setia pada diri mereka sendiri, tanpa mengira jangkaan masyarakat.